Sunday, June 7, 2009

CONTOH PANTUN YANG MEMPUNYAI PEMBAYANG YANG BERBAYANG

Selain daripada beberapa pantun yang telah dibincangkan, pengkaji juga telah dapat mengenal pasti beberapa lagi rangkap pantun yang juga mempunyai perkaitan antara pembayang maksud dengan maksud pantun. Antaranya ialah seperti berikut:
Dari Deli ke Palembang,
Singgah bermalam dalam pekan;
Berapa tinggi kumbang terbang,
Ditangkai juga mencari makan. (Kurik Kundi Merah Saga, 2005:442)

Apalah guna pakai kasut,
Duri apa lekat di kaki;
Apalah guna ilmu dituntut,
Jika tidak berani mati. (Kurik Kundi Merah Saga, 2005:638)

Hendak dulang kuberi dulang,
Dulang berisi antah bertih;
Hendak pulang kuberi pulang,
Pulang beriring gajah putih. (Kurik Kundi Merah Saga, 2005:357)

Anak tupai di atas carang,
Jatuh melompat patah kaki;
Kalau pandai menjaga barang,
Mana boleh menjadi rugi. (Kurik Kundi Merah Saga, 2005:648)



Kinabalu bertanggalah pati,
Ambil gemala di mulut naga;
Kalau sudah kehendak hati,
Mahal murah turuti harga. (Kurik Kundi Merah Saga, 2005:651)

Selagi langit payungi awan,
Hujan juga merintis embun;
Selagi sampai segala tujuan,
Badan binasa musuh berembun. (Kurik Kundi Merah Saga, 2005:645)

Walaupun pengkaji mengambil sumber pantun-pantun ini daripada rujukan utama, iaitu buku Kurik Kundi Merah Saga: Kumpulan Pantun Lisan Melayu edisi kedua (2005), namun pengkaji juga dapat melihat terdapat beberapa pantun yang juga mempunyai perkaitan antara pembayang maksud dengan maksud pantun itu sendiri. Oleh hal yang demikian, tidak rugi sekiranya pengkaji turut memuatkan beberapa rangkap pantun tersebut, antaranya ialah:
Jentayu burung jentayu,
Hinggap di balik pokok mayang;
Bunga kembang akan layu,
Budi yang baik takkan hilang. (http://penyair.wordpress.com)

Padi segemal kepuk di hulu,
Sirih di hilir merekap junjungan;
Kepalang duduk menuntut ilmu,
Pasir sebutir jadikan intan. (http://penyair.wordpress.com)

Perhatian: Semua pandangan dan pendapat tentang maksud pantun di atas diberikan oleh penulis mengikut perspektif penulis, kecuali jika dinyakan petikan mana-mana sumber.

3 comments: